Pemuda UMNO Bimbang Dasar Pendidikan Islam Runtuh Di Bawah Pemerintahan Kerajaan PH


SHAH ALAM, 28 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO melahirkan rasa bimbang dasar pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah pemerintahan UMNO selama ini runtuh dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apatah lagi menurut beliau, kerajaan pula dilihat tidak menyatakan secara tegas dalam soal ini yang telah menyebabkan timbulnya kegusaran dan kerisauan di kalangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Apa yang menjadi kebimbangan kita hari ini ialah apa yang telah UMNO bina dalam soal dasar pendidikan Islam ini sejak selepas merdeka akan runtuh oleh kerajaan PH.

“Ini memandangkan banyak desakan pihak tertentu yang menyentuh soal Islam dan pendidikannya, sebagai contoh isu sekolah tahfiz di mana ada suara-suara yang mendesak sekolah tahfiz agar ditutup.

“Dan kerajaan pula dilihat tidak begitu tegas dalam soal ini yang menyebabkan timbul rasa kebimbangan di kalangan orang Melayu dan umat Islam tentang kebarangkalian perkara itu untuk terjadi.

“Bagaimanapun, jika kita nak bandingkan apa yang telah dilakukan oleh UMNO dalam soal Islam dengan kerajaan Pakatan Harapan, tidak adillah kerana mereka baru sahaja memerintah tidak sampai 100 hari. Namun kebimbangan itu tetap ada,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Diskusi N49 bertajuk ‘Agama Dan Cabarannya’ yang boleh diikuti menerusi laman facebook UMNO-Online, malam tadi.

Jelas Asyraf, UMNO sebenarnya amat menitik beratkan soal agama dengan mewujudkan dasar pendidikan serta suasana beragama agar rakyat khususnya umat Islam di negara ini mempunyai kesedaran dan kefahaman agama.

“Kalau kita mahu membangunkan masyarakat, kita kena menyuntik kesedaran, menanam kefahaman, sebab itu kita memfokuskan soal pendidikan.

“Dasar pendidikan Islam yang kita ada sejak dari merdeka, kita bangunkan ia secara bertahap. Apa yang disebut sebagai tadarruj, iaitu secara berperingkat-peringkat.

“Kita ada sekolah agama, maka kita perkasakan sekolah agama. Daripada sekolah agama rakyat yang daif, kita jadikan sekolah agama bantuan kerajaan.

“Sekarang ini ada 220 buah sekolah agama bantuan kerajaan ini. Begitu juga dengan sekolah menengah agama, kita kini ada 59 sekolah agama yang menerima bantuan kerajaan,” ujarnya.

Katanya lagi, apa yang beliau disebutkan itu adalah sekolah-sekolah yang berorientasikan agama, manakala sekolah kebangsaan yang biasa ini pula turut diperkasakan mata pelajaran agamanya.

“Tak cukup dengan mata pelajaran agama sahaja, pada tahun 2006 ketika Perhimpunan Agung UMNO, pembahas resolusi agama mencadangkan supaya diwujudkan pula J-Qaf, di mana anak-anak kita di sekolah rendah kena khatam Al-Quran, kena menghayati fardu ain.

“Jadi waktu itu, kerajaan mengambil 30 ribu guru-guru J-Qaf daripada Mesir, Jordan dan universiti tempatan dan kita tak tanya mereka ini (guru) sokong siapa, parti mana, kita pakai ambil saja.

“Sebab itu ada pihak yang menegur, kenapa ambil orang ini atau orang itu sebab dia bukan sokong UMNO, tetapi kita tidak pernah fikir soal itu. Apa yang UMNO fikir dan fokus hanyalah Islam perlu disemarakkan,” tegasnya.

Tambah beliau, dasar pendidikan itu pula dilaksanakan secara menyeluruh, bermula di peringkat rendah, menengah sehinggalah ke pusat pengajian tinggi.

“Habis kita sekolah agama, ada pula Universiti Islam Antarabangsa, kita ada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mana satu-satu universiti yang meletakkan syarat kemasukkannya mestilah fasih berbahasa Arab. Maksudnya 100 peratus pelajar yang masuk ke situ fasih dalam berbahasa Arab.

“Daripada sekolah rendah, kita ada KAFA, ada J-Qaf, kemudian ke sekolah pula yang berorientasikan Islam seperti SBP, SMKA, ada sekolah agama bantuan kerajaan, dan kesinambungannya ke universiti. Kita ada UIA, kita ada USIM, ada Fakulti Pengajian Islam UKM, ada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

“Dan kita peruntukan dana yang banyak untuk perkara ini. Jika kita lihat pada bajet yang lepas, kerajaan memperuntukan sebanyak RM1.6 bilion hanya untuk bahagian pendidikan Islam sahaja.

“Ini semua adalah hasil daripada dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan UMNO untuk melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran dan kefahaman tentang Islam di negara ini seperti apa yang dapat kita lihat hari ini,” ujarnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.