Himpunan Kebangkitan Ummah Bukan Sebuah Perhimpunan Rasis

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Himpunan Kebangkitan Ummah bukanlah sebuah perhimpunan rasis kerana ia adalah satu perhimpunan untuk menyatakan hasrat dan pandangan berkaitan isu-isu yang berlaku kini.

Jelas beliau, himpunan ini juga adalah anjuran oleh NGO dan bukan parti politik, maka sesiapa sahaja boleh hadir termasuk ahli parti politik tanpa halangan.

“Kita hadir di sini bertujuan menyatakan hasrat dan pandangan tentang isu-isu yang hangat kini khususnya terhadap agama Islam

“Ini bukan rasis tapi perhimpunan ini adalah demi kepentingan rakyat merangkumi Tanah Melayu dan Agama Islam,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Mengulas berkaitan janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) jelas beliau, janji tersebut disifatkan sebagai ‘janji tersilap’ dan kerana itulah banyak janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Kini sudah hampir 100 hari tetapi banyak janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan baru.

“Bagi saya janji itu akan tinggal janji kerana kerajaan baru akan terus mencari alasan untuk menjustifikasikan mengapa mereka tidak dapat melaksanakan janji-janji tersebut,” ulas beliau lagi.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi, perhimpunan ini adalah satu soladiriti tanpa mengira fahaman politik tetapi ia adalah bertujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa umat Islam dan melayu itu lebih penting dari segala-galanya.

“Pemerintahan Malaysia baru seolah-olah menolak keistimewaan hak orang Melayu dalam negara ini maka himpunan ini adalah satu signal kepada kerajaan sekarang agar jangan melakukan sesuatu di luar konteks Perlembagaan negara Malaysia.

“Mereka perlu ingat bahawa orang Melayu adalah mojoriti dan sejarah juga menunjukkan negara ini pernah dikenali sebagai kepulauan Melayu. Ini bukan rasis tetapi kita mahu pertahankan apa yang selama ini telah kita persetujui.

“Jika dulu kita bersetuju bangsa Cina dan India menjadi rakyat Malaysia maka mereka juga perlu terima bahawa Melayu adalah majoriti dan tuan di tanah Malaysia,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.