Wanita UMNO Mahu Kerajaan Selangor Serius Benteras Wabak Denggi
KLANG, 27 Julai – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kapar, Noorlaila Aslah mendesak kerajaan Negeri Selangor agar segera mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah demam denggi yang sentiasa menjadi ancaman kepada rakyat di negeri ini.
Menurut beliau, kerajaan Negeri Selangor harus berasa malu dengan janji ‘Peduli Sihat’ yang dijaja tetapi rakyat Selangor terus menjadi mangsa ancaman denggi.
“Hari ini, saya bersama Wanita UMNO Bahagian Kota Raja dan Wanita UMNO Bahagian Kapar menziarahi salah seorang pengundi Sungai Kandis, Puan Nurul Ashikin Chan Abdullah, yang sedang dirawat di Hospital Sri Kota kerana disyaki dijangkiti denggi.
“Kita, Wanita UMNO sangat mengambil berat keluhan ibu-ibu di Sungai Kandis yang meluahkan kebimbangan mereka tentang peningkatan kes wabak denggi di sini.
“Ini jugalah yang disuarakan oleh mangsa denggi, Nurul Ashikin Chan yang mahukan kerajaan mencari jalan mengatasi masalah demam denggi di negeri ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, Wanita UMNO mahu kerajaan negeri memandang serius tentang wabak denggi yang telah memghantui rakyat di negeri tersebut.
“Kita mohon tindakan segera daripada kerajaan negeri untuk mencegah ancaman denggi terhadap rakyat di Selangor, khususnya penduduk di Sungai Kandis ini.
“Sampai bila Selangor mahu terus menjadi juara dalam isu wabak demam denggi ini dengan mengumpul jumlah tertinggi kes denggi di seluruh negara?,” tegasnya lagi.-MediaUMNO