UMNO Tubuh Jemaah Penasihat Dipengerusikan Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 27 Julai – UMNO menubuhkan Jemaah Penasihat yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) dengan menubuhkan juga sembilan majlis yang meliputi beberapa pertanggungjawaban bagi memperkasakan dan menyemarakkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO sendiri.

“Kita menumpukan kepada sektor atau isu-isu utama untuk ditangani oleh pegawai-pegawai kanan UMNO sendiri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn hari ini.

Katanya, UMNO juga secara dalaman telah menubuhkan lapan jawatankuasa.

“Ini adalah untuk menentukan kesempurnaan perjalanan yang tersusun bagi pentadbiran parti dan bagi menggantikan biro yang telah terdapat dalam pentadbiran UMNO terdahulu.

“Di samping itu juga kita telah mewujudkan 10 sekretariat yang merangkumi soal-soal yang diberikan tumpuan kerana isu-isu yang mutakhir ini adalah melibatkan beberapa perubahan dasar ataupun public policy yang harus ditangani oleh UMNO.

Jelasnya, ia dibuat kerana mengambil kira soal isu yang sedang dihadapi oleh rakyat berdasarkan pendekatan UMNO tidak lagi kepada politik pembangunan atau politik perkhidmatan.

“Kita kini sebagai teras kepada gabungan pembangkang maka kita akan menggunakan pendekatan kepada isu dan bukannya pembangunan atau perkhidmatan,” katanya.

Ujar beliau, hal-hal mendalam berkaitan majlis dan jawatankuasa akan dimaklumkan oleh pengerusinya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.