Perhimpunan Agung UMNO 2018 Pada 29 – 30 Sept Depan

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Perhimpunan Agung UMNO 2018 dijadualkan akan diadakan pada 29 dan 30 September akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan tersebut akan dimulakan dengan mesyuarat sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dan diikuti dengan persidangan parti keesokannya.

“Hasil mesyuarat Majlis Teringgi (MT) hari ini kita telah putuskan Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan lebih awal iaitu pada 29 dan 30 September ini.

“Perhimpunan kali ini juga dilihat penting kerana kita merasakan usul-usul yang dikemukakan akan melibatkan usul ucapan Presiden sahaja,” ujar beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli MT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Selain itu beliau memberitahu antara perkara yang diputuskan adalah melakukan perubahan dalam struktur UMNO dari segi perlembagaan dan peraturan iaitu had umur keahlian diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Ketika ditanya mengapa tindakan tersebut diputuskan Zahid menjelaskan, ini bersesuaian dengan hasrat akar umbi dan juga perubahan baru yang dilakukan oleh orang yang mencadangkan agar had umur mengundi diturunkan.

“Kami memutuskan beberapa perkara pertamanya untuk memenuhi hasrat akar umbi dan bagi menentukan bahawa beberapa perubahan harus dilakukan kepada struktur organisasi UMNO, perlembagaan dan peraturan maka kami memutuskan untuk menurunkan had umur keahlian daripada 18 sepertimana terdapat dalam Perlembagaan UMNO kepada 16 tahun.

“Harus bersiap siaga dan kita merasakan bahawa umur belia yang diiktiraf di peringkat nasional dan negara adalah 15 tahun jadi, kita ambil setahun lebih lewat dari definasi umur belia.

“Selain itu, kita juga akan melakukan pemutihan ahli UMNO kerana kita tidak mahu kuantiti kepada jumlah ahli tetapi kita mahu ahli yang berkualiti,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.