Kerajaan PH Jangan Jadikan Golongan Muda ‘Tikus Makmal’
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), cukup-cukuplah mempermainkan rakyat khususnya golongan muda kerana mereka bukanlah pengundi yang boleh ‘dijual-beli’.
“Mereka memilih kerajaan baharu dengan harapan kehidupan mereka akan menjadi lebih selesa dan bertambah baik, tetapi rupanya, mereka umpama ‘tikus makmal’ yang digunakan sebagai alat ujikaji kerajaan PH.”
Katanya, kerajaan PH apabila berjanji mestilah ditepati kerana kegagalan menunaikannya menggambarkan wajah sebenar mereka setelah dicabut topengnya.
“Jangan cuba lari dengan guna alasan ‘Manifesto bukan Kitab suci’,” tegasnya.
Jelasnya, hari ini sudah masuk hari ke-74 kerajaan PH dan satu demi satu janji Buku Harapan kepada rakyat terutamanya golongan muda terus dinilai khususnya isu PTPTN.
“Memang seronok golongan muda mendengar janji berkempen PH yang menangguhkan bayaran balik sehingga gaji bulanan mencecah RM4000. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri sejurus selepas beliau dilantik mengetuai Kementerian Pendidikan.
“Isu inilah juga yang menjadi ‘turning point’ golongan muda untuk memilih Kerajaan Malaysia yang baharu, tetapi nada berbeza pula selepas membentuk Kerajaan.”
Dalam hal ini beliau mengaitkan dengan kenyataan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, yang menyatakan bahawa kajian masih lagi dilaksanakan bahawa kemungkinan besar janji ini tidak dapat dilaksanakan.
“Lebih teruk lagi tiada data spesifik dikeluarkan dan ini menunjukkan kelemahan pertama pihak kerajaan secara teknikal dari segi kutipan, kerajaan kerugian RM155 juta sehingga Mei 2018 berbanding kutipan RM400 juta berakhir 2017 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).”
Lebih menyedihkan katanya, apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ning Ching mendedahkan seramai 429, 945 orang peminjam akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen akibat kegagalan membayar balik pinjaman.
“Bagi golongan muda yang ‘baru belajar untuk hidup’, perkara ini semestinya membebankan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO