Bila Bercakap Soal Dasar Pendidikan Negara, Kita Mesti Serius, Tidak Boleh Main-Main – Mahdzir Khalid

SHAH ALAM, 27 Julai – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas Menteri Pelajaran, Dr Mazlee Malik yang disifatkan beliau telah berulang kali melakukan pusingan-U dalam membuat keputusan berhubung soal-soal pendidikan di negara ini.

Katanya, tidak sampai 100 hari pentadbiran kerajaan PH, Menteri Pendidikan dilihat telah banyak kali membuat pusingan-U berhubung kenyataan-kenyataan beliau tentang soal-soal yang melibatkan pendidikan di negara ini.

“Contohnya dalam soal PTPTN. Sampai hari ini beliau tidak dapat menyelesaikan isu pembayaran balik PTPTN yang dijanjikan oleh kerajaan hari ini. Pelbagai alasan yang beliau berikan seperti data tidak cukup… baru mahu data dan sebagainya.

“Bagi saya, sekiranya kita sudah berjanji, maka sepatutnya mereka yakin ia boleh dilaksanakan. Kalau kamu sudah yakin ia boleh dilaksanakan dalam soal pembayaran balik PTPTN ini, laksanakan sajalah janji itu. Tak payahlah kita beri pelbagai alasan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi N49 yang bersiaran secara langsung menerusi laman facebook UMNO pada setiap malam sepanjang tempoh berkempen sehinggalah menjelang hari pengundian pada 4 Ogos ini.

Jelas beliau, bagaimana beliau mampu untuk mengkaji serta menambah baik sistem dan dasar pendidikan negara sedangkan perkara yang mudah dan senang, yang sepatutnya boleh diputuskan itu pun beliau tidak dapat atasi.

“Akhirnya pusing-pusing, mahu nampak juga supaya ia berbeza dengan kerajaan BN sebelum ini, maka timbullah isu bertukar kasut putih kepada kasut hitam. Sebab itu, saya tegaskan bahawa soal pendidikan negara ini sesuatu perkara yang serius. Kita tidak boleh main-main dalam soal ini.

“Jika kita menyebut tentang Dasar Pendidikan Negara, dasar itu adalah jelas. Dari pendidikan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sampailah ke peringkat universiti, ada ruang lingkup di dalamnya.

“Perkara-perkara yang diluar dari dasar negara tidak boleh dilaksanakan. Kalau mahu dilaksanakan juga, kena bawa perkara tersebut kepada persetujuan kerajaan, kena bawa masuk parlimen, jika ia melibatkan dasar pendidikan negara,” tegasnya.

Malah, beliau berpandangan bahawa Dasar Pendidikan Negara tidak perlu lagi diubah kerana dasar yang digariskan itu adalah yang terbaik untuk negara berbilang bangsa dan kaum seperti di Malaysia.

“Pada saya Dasar Pendidikan Negara hari ini adalah yang terbaik. Tidak perlu diubah-ubah lagi. Di rantau Asia ini semua orang tahu, bahawa hanya di Malaysia sajalah yang wujudnya sekolah kebangsaan dan ada sekolah rendah jenis kebangsaan.

“SRJKC saja ada 1,200 buah sekolah di negara ini. SRJKT pula ada lebih kurang 500 lebih di negara ini. Bakinya adalah sekolah kebangsaan. Inilah konsep BN bermula dari Perdana Menteri yang pertama sehinggalah ke Perdana Menteri yang ke tujuh hari ini, yang mana kita mahukan semua kaum boleh belajar melalui bahasa ibunda mereka.

“Jadi bagi saya, kalau kerajaan baru hari ini mahu mengubah Dasar Pendidikan Negara, maka tutuplah sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini dan tetapkanlah semua murid dari semua kaum mesti bersekolah di satu sekolah kebangsaan yang satu, tapi soalnya beranikah mereka berbuat begitu?,” soalnya sinis. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.