Tangani Segera Khazanah Dan GLC Di Bawah Naungannya – Zahid


KUALA LUMPUR, 26 Julai – Peletakan jawatan semua sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad, patut ditangani oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak membantutkan pertumbuhannya serta GLC di bawah naungannya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata pembangkang tidak mahu menyentuh isu peletakan jawatan ini tetapi bimbang dengan kedudukan portfolio pelaburan asingnya serta kedudukan puluhan GLC di bawahnya.

“Pembangkang juga bimbang jika penyusunan syarikat-syarikat di bawah Khazanah akan mengalami kemelut berikutan langkah tegas memecat dan memaksa pegawai tinggi lantikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu meletak jawatan.

“Walaupun ia dilihat akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sekarang, kerajaan juga boleh melantik orang pilihan mereka sendiri untuk menggantikan yang sedia ada.

“Apa yang tidak menyenangkan pembangkang ialah peletakan jawatan ahli lembaga pengarah sedangkan mereka ini benar-benar berkhidmat dengan cemerlang dan menyumbang ke arah kejayaan syarikat”.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam satu kenyataan media sebagai mengulas peletakan jawatan secara beramai-ramai ahli lembaga pengarah Khazanah yang berlaku seminggu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyelar Khazanah yang disifatkannya gagal membantu perniagaan Bumiputera.

“Portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli pengarah mereka dibuat secara ‘tangkap muat’ dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik.

“Jika diteliti kebolehan semua ahli lembaga pengarah, mereka ini benar-benar menerajui Khazanah dengan pengalaman dunia korporat seperti bank perdagangan serta Bank Negara Malaysia.

“Oleh itu, pembangkang berharap kerajaan mencalonkan barisan yang setaraf ataupun lebih baik, agar iklim pelaburan tempatan dan pelabur asing khasnya, tidak terganggu dengannya.”

Sebagai contoh, katanya, Khazanah yang memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings, IHH Healthcare dan memiliki Malaysia Airlines, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada kaunter di Bursa Malaysia.

“Tambahan pula, Khazanah terbabit dengan projek ‘sovereign wealth fund’ di Singapura melalui usahasama dengan Temasek Holdings dalam pembangunan enam fasa pembangunan hartanah di republik itu, termasuk Marina One and Duo.

“Tatkala hubungan dengan Singapura terjejas berikutan pembatalan projek HSR, sebarang perkembangan dalam Khazanah Nasional akan memberi kesan lanjut kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan republik itu.

“Pembangkang berharap kerajaan akan ‘menyelamatkan’ keadaan ini secepat mungkin agar portfolio pelaburan Khazanah tidak terjejas dan menipiskan keyakinan pelabur asing yang beransur-ansur pulih pada masa ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.