Tahun Melawat Pahang 2017 Tidak Gagal

KUANTAN, 26 Julai – Kerajaan Negeri Pahang hari ini menegaskan Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 bukan satu program yang gagal, walaupun tidak mencapai sasaran pelancong yang diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata TMP 2017 telah berjaya meningkatkan kehadiran pelancong dalam jumlah yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, kehadiran pelancong pada TMP2017 adalah seramai 14.8 juta, berbanding sasaran 15 juta namun jumlah pelancong pada tahun 2016 hanya seramai 12.8 juta.

“Jadi saya ingin bertanya semasa di sekolah, markah penuh adalah 100 peratus. Jika pelajar mendapat markah 98 peratus, adakah pelajar itu dianggap gagal?

“Kehadiran pelancong ini mengambil kira pelancong yang bermalam di hotel, motel atau inap desa dan kehadiran mereka membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) yang bertanyakan jika pelaksanaan TMP2017 boleh disifatkan sebagai satu kegagalan.

Pada persidangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak turut mencelah untuk menyatakan sokongan bahawa kerajaan negeri telah melakukan tugas yang baik dalam sektor pelancongan.

Katanya, ini dapat dilihat daripada kejayaan pengusaha Lemang To’ki di Bentong yang kini menjadi destinasi pelancongan, selepas bermula sebagai penjual lemang di tepi jalan di Chamang.

“Kalau kita berkunjung ke Bentong pada hujung minggu, kita boleh lihat Lemang To’ki penuh dikunjungi peminat. Begitu juga dengan gulai tempoyak yang dahulu hanya masakan di Pahang Barat, namun kini menjadi juadah popular.

“Sehingga di ibu kota restoran menjual masakan tradisional Pahang semakin berkembang… begitu juga dengan sambal hitam yang menjadi tarikan selepas promosi demi promosi dilakukan,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.