Rumah Mampu Milik Untuk Rakyat Selangor Hanya Tinggal Kenangan – Rosni

SHAH ALAM, 26 Julai – Rumah mampu milik yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Selangor kini hanya tinggal kenang-kenangan sahaja kepada rakyat ekoran kerajaan Selangor sendiri mengumumkan projek perumahan mampu milik akhirnya dibatalkan, demikian kata ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Jelasnya, sudah pasti sebahagian besar rakyat di negeri ini, khususnya yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana amat kecewa dengan keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan projek rumah mampu milik yang dijanjikan sebelum ini.

“Sebanyak sembilan projek rumah mampu milik telah dibatalkan oleh kerajaan negeri awal tahun ini. Ini membuatkan rakyat kecewa. Usahkan hendak bina, tetapi apa yang dirancangkan pun dibatalkan. Jadi saya yakin perkembangan ini menjadikan rakyat di negeri ini kecewa terutama bagi mereka yang berhasrat untuk memiliki rumah sendiri.

“Jika mahu dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menurut rekod yang berakhir pada 4 April di mana kerajaan telah berjaya melaksanakan sebanyak 118 projek perumahan PPR, dan berjaya membina sebanyak 83,380 ribu rumah mampu milik.

“Kerajaan negeri hari ini lebih mementingkan rumah-rumah komersil dan mewah kerana sasaran mereka adalah untuk mencari untung. Berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (B)N terdahulu yang memberikan tumpuan untuk membina rumah mampu milik agar rakyat dapat memiliki rumah dengan harga yang mampu dibeli dan berpatutan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Diskusi N49 anjuran Media UMNO Malaysia dan Penerangan yang bersiaran secara langsung menerusi laman facebook malam tadi.

Sementara itu, beliau turut menyentuh program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti program KISS dan lain-lain, di mana beliau menyifatkan program-program tersebut hanyalah gula-gula untuk rakyat semata-mata.

“Apa yang jelas, program bantuan rakyat seperti itu tidak dapat dirasai oleh semua rakyat. Boleh saya katakan, bantuan tersebut hanya diberikan kepada kroni-kroni sahaja, dan bukan untuk semua rakyat.

“Saya sendiri pun pernah nyatakan hal ini dalam sidang DUN. Kenapa kerajaan negeri perlu pilih-pilih dalam mengagihkan bantuan seperti ini. Mengapa tidak diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Saya sendiri menyuruh pengundi-pengundi saya untuk memohon skim atau program Peduli Rakyat yang dilakukan oleh kerajaan negeri itu tetapi akhirnya mereka gagal juga untuk mendapatkan bantuan tersebut.

“Sebab itu, saya katakan bantuan tersebut hanya sampai kepada kroni mereka sahaja. Mereka lebih mementingkan politik daripada rakyat itu sendiri,” tegasnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.