Najib Nafi Dakwaan Cetus Huru-Hara, Panggil Mesyuarat MKN Pada Malam 9 Mei

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau telah memanggil mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada malam 9 Mei berikutan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata beliau tidak menpunyai sebarang niat untuk mencetuskan huru-hara pada malam tersebut.

“Sebelum ini telah timbul tuduhan dan fitnah kononnya saya pada ketika itu sebagai perdana menteri bercadang untuk mencetuskan huru-hara dan mengisytiharkan darurat kerana kononnya saya takut kehilangan kuasa.

“Apa yang dituduh itu tidak berasas sama sekali dan saya boleh beritahu kepada Dewan yang mulia ini, kalau rujuk kepada panglima Angkatan Tentera Malaysia pada ketika itu dan Ketua Polis Negara dan semua anggota MKN, tidak ada panggilan mesyuarat khas MKN pada malam 9 Mei sama sekali,” katanya semasa membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, peralihan kuasa telah berlangsung dengan aman dan tersusun.

“Saya nak nyatakan bahawa saya seorang yang percaya kepada prinsip demokrasi dan rules of law dan akur kepadanya,” katanya.

Najib berkata penyertaan beliau dalam perbahasan kali ini juga merupakan satu sejarah kerana buat pertama kalinya beliau telah berucap sebagai anggota Parlimen pembangkang.

Katanya, beliau juga akan terus menggunakan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam membantu Ketua Pembangkang dan negara.

Dalam perbahasannya hampir 20 minitnya itu, Najib turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan hari ini telah menwarisi ekonomi yang kukuh dan sihat daripada Barisan Nasional.

Katanya, kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk dua pakej ransangan ekonomi dan dasar transformasi ekonomi yang telah membawa kepada Malaysia terlepas daripada kesan krisis ekonomi dunia yang berlaku semasa kepimpinannya dahulu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.