Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen PH Ceria Sebagai ‘Kekanda’ dan ‘Adinda’
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Sapaan ‘kekanda’ dan ‘adinda’ antara anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang yang saling berseloroh mesra hari ini menceriakan suasana di Dewan Rakyat yang kebiasaannya ‘panas’ dengan pelbagai isu.
Ia bermula apabila S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang mengambil giliran membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V membahasakan dirinya sebagai ‘adinda’ ketika menyapa Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan gelaran “kekanda”.
Kesavan menarik perhatian Ahmad Zahid apabila memberitahu Anggota Parlimen Bagan Datuk itu bahawa beliau merupakan anak watan Bagan Datuk dan dahulunya merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, iaitu antara DUN di bawah Parlimen Bagan Datuk.
Kenyataan itu menyebabkan Ahmad Zahid bangun membalas ucapan Kesavan dan mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Anggota Parlimen Sungai Siput.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Sungai Siput kerana secara rasminya dinaikkan pangkat untuk bertanding di Sungai Siput dan meninggalkan DUN Hutan Melintang.
“Dan adakah Yang Berhormat rasa terima kasih kepada kekanda kerana semasa menjadi pihak pembangkang pun kekanda sudah memberikan layanan yang saksama dan terbaik kepada Yang Berhormat,” kata Ahmad Zahid.
Kepada soalan itu, Kesavan menjawab: ”Kekanda Bagan Datuk, saya kini berhijrah ke Sungai Siput, ini tidak bermakna walaupun Bagan Datuk jauh dari pandangan Sungai Siput, namun dekat di hati.
“Saya ucap terima kasih,” kata Kesavan dengan gelagat kedua-dua mereka disambut gelak ketawa oleh anggota-anggota Parlimen yang lain.
Kesavan ketika menyambung perbahasannya berkata walaupun wadah dan ideologi perjuangan parti berbeza, warna kulit berbeza, agama dan bahasa berbeza namun ia tidak seharusnya menjadi halangan dalam mewujudkan ikatan persaudaraan.
Perbahasan itu turut mendapat pujian Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming yang menyifatkan cara sapaan kedua-dua anggota Parlimen itu menepati pepatah ‘orang berbudi kita berbahasa’ dan wajar menjadi contoh di dewan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung minggu depan.