Fakta Dan Rekod Buktikan BN Wariskan Negara Dalam Keadaan Yang Sangat Baik

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pemimpin kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) seharusnya bersikap lebih telus dan mengakui kebenaran, bukannya masih meneruskan mentaliti sebagai seorang pembangkang.

Jelas beliau, rakyat boleh menilai sikap mereka ketika berbahas di dalam Dewan Rakyat yang masih terus-terusan berpolitik menuding jari ke arah orang lain.

“PH sepatutnya mengakui keadaan sebenar iaitu mereka mengambil alih tampuk pimpinan negara dalam keadaan yang sangat baik tapi sayangnya itu tidak berlaku. Mereka masih mahu menggambarkan negara telah rosak dan itulah yang mereka terjemahkan dalam semua jawapan dan ucapan di Dewan.

“Hakikatnya BN mewariskan negara ini dengan cukup baik… prestasi ekonomi ditahap yang cukup membanggakan bukan sahaja diperakukan oleh badan-badan dalam negara tapi juga diperakukan oleh badan penarafan antarabangsa, begitu juga dalam perkara lain baik pembangunan, prasarana dan lain-lain,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Namun tambah Shamsul Anuar, setelah memegang tampuk pimpinan negara apa yang dapat dilihat adalah PH seperti terikat dan tidak mampu untuk menunaikan segala janji yang telah ditabur.

“Kerana itu PH mula menuar-uarkan kepada rakyat bahawa mereka mewarisi negara dalam keadaan yang tidak baik dan ekonomi tidak baik. Mereka lupa rakyat boleh mengakses fakta secara online namun mereka tetap memutar belitkan kenyataan untuk menggambarkan PH yang terbaik. Itu sebenarnya alasan untuk membolehkan mereka tidak tunai janji.

“Sebenarnya pemimpin PH masih tidak boleh ubah mentaliti, pendekatan dan cara sebagai pembangkang… sudah jadi pentadbir, jadi lah pentadbir baik… Ini berbeza dengan BN yang memang matang dan percaya dengan demokrasi malah kita akui hakikat rakyat telah buat keputusan untuk letakkan PH sebagai kerajaan yang dipilih.

“Jadi saya harap PH buatlah sebagaimana kerajaan sepatutnya… ini dalam Dewan Rakyat pun mentaliti tidak berubah… masih mahu menyerang peribadi, masih menjawab persoalan dengan cara tetap sama seperti ketika mereka menjadi pembangkang dahulu, salahkan orang lain,” ujar Shamsul Anuar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.