Wanita UMNO Gesa Kerajaan PH Tunai Janji Caruman Suri Rumah Dalam Tempoh 100 Hari

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad hari ini menuntut agar kerajaan Pakatan Harapan menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari dengan segera sebelum tempoh berkenaan berakhir tidak lama lagi.

Katanya, ini bagi membuktikan mereka benar-benar sebuah kerajaan yang telus dalam menunaikan janji kepada rakyat.

“Pihak PH perlu menjelaskan dengan terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan caruman 2 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada para suri rumah.

“Pelaksanaan caruman dua peratus itu perlu meliputi pelbagai situasi dan keadaan seperti bagaimanakah mekanisme yang akan dilakukan sekiranya si suami tidak bekerja dan bagaimanakah pula caruman akan dilaksanakan bagi suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri,” katanya yang juga Ahli Parlimen BN Parit Sulong.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Menjunjung Kasih Perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Katanya, kerajaan PH sepatutnya telah mengkaji dari segenap sudut mengenai cadangan pelaksanaan caruman dua peratus ini sebelum dihebahkan kepada umum sebagai salah satu janji mereka pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

Dalam manifesto PRU14 lalu, PH memperkenalkan dasar skim KWSP khas untuk suri rumah atas alasan bagi mengiktiraf peranan dan perjuangan golongan tersebut dengan caruman pada kadar dua peratus akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami serta sumbangan RM50 daripada PH pada setiap bulan. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.