UEC: Kerajaan Perlu Ambil Kira Pandangan Pakar, Tokoh Negarawan Sebelum Pelaksanaan


IPOH, 25 Julai – Kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar dan tokoh negarawan dalam setiap perancangan dasar baharu bukannya sekadar menerima cadangan seterusnya melaksanakannya tanpa melihat kepada kesan dan akibat dasar tersebut.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata ini kerana kerajaan perlu mengambil kira maslahat umum, silibus, dasar, polisi dan akta sedia ada sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

“Pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) akan merungkai asas perpaduan kaum yang berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Adalah amat mendukacitakan sama sekali sekiranya UEC diiktiraf kerana ia membuka ruang yang cukup besar kepada kaum-kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni yang wujud di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Dasar Pendidikan Kebangsaan telah mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan secara jelas sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Harussani berkata sistem pendidikan negara dibentuk berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa dan dasar pendidikan sedia ada terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah yang lebih baik.

“Mutakhir ini bidang pendidikan yang diharmonikan dengan perpaduan kaum sedang dirosakkan oleh desakan pihak tertentu yang semakin berani menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada.

“Pengorbanan negarawan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock serta Tun Tan Siew Sin yang menghalang pelaksanaan UEC pada zaman merdeka adalah semangat perpaduan kaum yang sangat tinggi ditunjukkan oleh mereka,” katanya.

Menurut Harussani, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 adalah antara dasar terbaik yang digubal dengan mengambil kira semangat perpaduan kaum bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu memelihara pendidikan nasional.

“Maka, kita sekarang adalah antara beberapa komponen manusia yang menikmati manfaat dasar-dasar tersebut,” katanya.

Pada 15 Julai lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Maszlee berkata sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.