MB Pahang Nasihat Adun Bersikap ‘Budiman’

KUANTAN, 24 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, menasihatkan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bersikap ‘budiman’ sepanjang berlangsungnya persidangan ini.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan perubahan pada komposisi wakil parti di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun berharap perjalanan sidang dapat dilaksana dengan sewajarnya.

Semua ADUN perlu bersandarkan kepada fakta yang sahih apabila berhujah dan bukannya atas perkara yang bersifat ‘hearsay’ atau fitnah selain perlu berlapang dada untuk mengakui kesilapan.

“Tak perlu bertindak seperti hendak menegakkan benang yang basah yang boleh mengundang perisitiwa bertikam lidah yang merupakan perbuatan sia-sia.

“Saya sarankan ADUN yang pertama kali menjejak kaki ke sidang DUN untuk menyemak dan memahami semua peraturan mesyuarat kerana semua percakapan, perbahasan dan pelakuan yang tidak mematuhi peraturan sangat tidak dialu-alukan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa membentangkan usul menjunjung kasih atas Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma Sri Pahang di sini.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas, DUN Pahang kini dibarisi 25 wakil Barisan Nasional (BN) manakala DAP (tujuh), PKR (2) dan PAS (8).

Wan Rosdy menambah sikap profesional itu amat diperlukan kerana sidang DUN sering mempunyai tetamu selaku pemerhati termasuk daripada kalangan pelajar sekolah, memerlukan mereka menunjukkan contoh teladan yang baik.

“Saya mengajak semua ADUN tidak kira dari parti mana sekalipun untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan kemakmuran negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Kita perlu sedar rakyat memilih kita untuk membela nasib mereka dan tanggungjawab ini diperhatikan manakala bagi yang beragama Islam, ia akan dipersoalkan di akhirat kelak,” katanya.

Pada bahas itu, Wan Rosdy mengakui beliau berhadapan dengan ‘tugas sukar dan mencabar’ dalam tugasnya kerana keperibadian Tengku Abdullah yang sangat ‘hands on’ dan pantas mendekati rakyat.

Beliau juga berharap dapat memberi perkhidmatan terbaik apabila penanda arasnya ditetapkan oleh Menteri Besar terdahulu Datuk Seri Adnan Yaakob yang menerajui pentadbiran negeri selama 19 tahun bermula 25 Mei, 1999.

Antara sumbangan Adnan paling ketara ialah dalam sektor pendidikan yang menyaksikan penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang kini semakin mendapat pengiktirafan.

“Kepimpinan beliau juga membolehkan Yayasan Pahang yang pada asalnya cuma mempunyai bajet tahunan sekitar RM1.8 juta pada tahun 1983 telah melonjak kepada RM132 juta setahun,” katanya.

Wan Rosdy menambah Adnan juga berjaya mengemudi Barisan Nasional (BN) untuk memenangi semua pilihan raya umum atau pilihan raya kecil walaupun PRU14 menyaksikan satu persatu negeri pimpinan BN ‘gugur’.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.