Kerajaan PH Tekan Peminjam PTPTN, Nak Nangis Atau Tepuk?
TANJUNG MALIM, 24 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyelar tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak henti-henti merobek kepercayaan rakyat yang mengundi mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu lagi, bukan sahaja PH tidak mampu menunaikan janji, malahan hingga ke tahap menekan golongan muda terutamanya berhubung isu pinjaman dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Ini hadiah 100 hari PH menjelang 17 Ogos 2018. Dulu janji sebelum PRU14 nak kecualikan pembayaran pinjaman PTPTN sehingga peminjam memperoleh gaji RM4,000 sebulan.
“Dah diundi dan jadi kerajaan, bukan sahaja janji tak ditunaikan, malah nak tekan lagi peminjam,” katanya dalam entri di facebooknya, di sini hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai cadangan Kerajaan PH melalui Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching bahawa peminjam PTPTN yang gagal membayar secara konsisten hutang pendidikan tersebut akan dimufliskan dan disenaraihitamkan dari keluar negara.
Khusairi turut percaya ramai peminjam PTPTN mengundi PH pada PRU14 lalu dengan harapan janji akan dikotakan.
“Kini mereka berhadapan dengan ugutan PH, sama ada bayar hutang atau bankrap dan nama disenaraihitamkan dari keluar negara.
“Saya pun tak tau sama ada nak nangis atau nak tepuk,” sinisnya. – Media UMNO