Kerajaan PH Perlu Berhenti Terus Manipulasi Isu Hutan RM1 Trilion Untuk Kelirukan Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Noraini Ahmad membidas kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sering menggunakan isu hutang negara bagi memomokkan rakyat.

Jelas beliau, sampai bila jumlah hutang negara mencecah RM1 trilion mahu ditokok tambah dan diuar-uarkan kerana semata-mata mahu mengalihkan tumpuan rakyat.

“Isu ini terus dimainkan hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat agar rakyat tidak dapat melihat kepincangan PH dalam menunaikan janji manifesto-menifesto mereka pada PRU-14 yang lalu.

“Seharusnya pemimpin menumpukan perhatian kepada usaha menunaikan janji dan memperbaiki kepincangan pemerintahan mereka. Sebab itu saya bangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat ke mana perginya RM100 yang ditarik dari peruntukan asal buat penjawat awam yang diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong dalam pembentangan Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noraini, sebagaimana dimaklumkan, bonus tersebut telah dibentangkan pada Oktober 2017 dan menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2017 bertarikh 13 Disember 2017 yang dinyatakan dalam portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu Bayaran Khas Aidilfitri 2018 sebanyak RM500 perlu dibayar pada 7 Januari 2018 kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan.

Namun begitu sebaliknya yang berlaku di mana para penjawat awam bergred 24 ke bawah sekadar menerima RM400 sahaja seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbanding bajet asal yang diluluskan kepada semua gred yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

“Mengapa bayaran dikurangkan sebanyak RM100 yang sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat memandangkan ia adalah kegunaan orang ramai untuk menyambut Aidilfitri?

“Mengapa pihak kerajaan tidak mempunyai sebarang pelan sementara yang khusus bagi mengelakkan pengurangan bayaran khas Aidilfitri itu dari berlaku memandangkan ia adalah janji yang telah dibuat dan mesti ditunaikan?” ulas beliau lagi.

Persoalan ini juga turut dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda di mana menerusi pemerhatian pihaknya, kerajaan PH telah memotong RM100 dari jumlah sebenar yang dibentangkan kerajaan terdahulu.

Maka tegas Noraini, kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan perlu bersikap lebih telus dengan menjelaskan kepada rakyat ke mana jumlah wang yang dipotong daripada bantuan ini disalurkan.

“Bukankah ia telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk diberikan kepada kakitangan awam? Kenapa perlu ditarik RM100 ini?” bidas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.