LANGSUNG: Ketua Pembangkang Menyambung Perbahasan Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambung mempersembahkan Ucapan Menjunjung Kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Keempat Belas ini hari ini.
***************
TERKINI
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat mengaitkan puisi Ibnu Khaldun untuk diamati oleh Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
DUNIA itu satu kebun,
pagarnya negara.
NEGARA itu sebuah kekuasaan,
yang hidup dengan kekuasaan itu,
aturan yang tetap (sunnah).
ATURAN yang tetap itu
ialah politik (siasah)
yang dijalankan oleh raja.
RAJA itu peraturan
yang disokong oleh tentera.
Tentera-tentera itu pembantu,
yang ditanggung oleh harta.
HARTA itu rezeki,
yang dikumpulkan oleh rakyat.
RAKYAT itu budak-budak,
yang dipelihara oleh keadilan.
KEADILAN itu yang disukai,
dengan keadilan tegaklah dunia.
****************
Isu Goods and Services Tax (GST) adalah strategi mainan pembangkang terdahulu sehingga rakyat terlena dengan fitnah yang dilemparkan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan apa rancangan kerajaan bagi menggantikan sumber pendapatan yang hilang daripada sifar GST ini, bagi menyelamatkan, ‘a failed state’ ini.
***************
Barisan Nasional (BN) telah mewariskan sebuah legasi pembangunan yang berteraskan kemakmuran untuk rakyat kepada kerajaan baharu, seperti High Speed Rail (HSR) dan East Coast Rail Link (ECRL) termasuk projek LRT 3, yang dirangka untuk rakyat dengan kos yang rendah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kos berkenaan bertukar menjadi lebih tinggi apa perkiraan yang diguna pakai oleh Menteri Kewangan.
***************
Hutang Syarikat Kepentingan Kerajaan (GLC) dan hutang swasta jaminan kerajaan tidak pernah dimasukkan ke dalam jumlah hutang kerajaan, perkara yang sama dilakukan oleh Singapura, China dan Taiwan.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hutang GLC dan firma yang diberi jaminan Kerajaan Malaysia terdahulu tidak pernah disembunyikan.
****************
Pada tahun 1986, hutang Kerajaan Malaysia adalah pada kadar 103 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi tidak menjerumus negara ke arah muflis.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada masa kini 97 peratus hutang kerajaan adalah dalam bentuk matawang ringgit, dan Perbendaharan serta Bank Negara adalah `monopoly issuer’ matawang, ini bermakna negara tiada risiko untuk muflis.