UMNO Kalabakan Nafi Tujuh AJK Keluar Parti

TAWAU, 16 Julai – UMNO Kalabakan hari ini menafi sekeras-kerasnya tujuh Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian yang baharu dilantik keluar parti bersama 2,000 ahli dari 45 cawangan parti di kawasan itu.

Ketua Bahagian UMNO, Abdul Karim Wahid berkata dakwaan wakil rakyat Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho, yang dulunya bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan dan kini menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), itu sengaja meraih populariti untuk memperkuatkan pengaruhnya dalam parti yang baharu disertainya.

“Tindakan ini sengaja melunturkan semangat perjuangan ahli UMNO serta tidak gentleman kerana tujuh yang disebut sebagai AJK itu adalah mantan dan tidak bertanding pada pemilihan parti baru-baru ini.

“Bagaimanapun, terdapat seorang AJK baharu dilantik (Mohammad Abdurahman) serta Pengerusi Tetap UMNO Kalabakan (Nazri Durahman) keluar parti, selain tiada yang mengesahkan bahawa terdapat ahli termasuk ketua cawangan yang keluar beramai-ramai dari parti,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata kepimpinan UMNO Kalabakan sedia ada bersama 191 cawangan UMNO di kawasan itu tetap utuh dan bersama kepimpinan pusat dan negeri untuk bangkit semula mendokong perjuangan UMNO dalam membela agama, bangsa dan tanah air.

Semalam dilaporkan kira-kira 2,000 ahli UMNO keluar parti untuk menyertai Warisan dan tindakan itu diketuai tujuh AJK UMNO Bahagian yang baharu bertanding.

Sebelum itu, beberapa Ketua Cawangan UMNO dijemput ke satu majlis makan tengah hari dihoskan Muis yang turut mengedarkan borang keahlian menyertai Warisan, namun difahamkan tiada ketua cawangan yang mengisi borang itu.