PH Didesak Beri Penjelasan, Permulaan Kucar-Kacir, Pencanggahan Tarikh Surat Cadangan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pakatan Harapan (PH) didesak memberi penjelasan yang telus berkenaan percanggahan tarikh pengumuman dan pengesahan calon Yang di-Pertua Rakyat oleh pemimpin PH berbanding tarikh surat cadangan menamakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang diumumkan Setiausaha Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad melihat permulaan kucar-kacir PH dalam memulakan Sidang Dewan Rakyat ini membuktikan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir negara dan tidak menghormati sistem demokrasi yang dijalankan selama ini.

“Tindakan Kerajaan melalui Setiausaha Dewan Rakyat yang menafikan Point of Order dari Ahli Parlimen Pembangkang amat dikesali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Datuk Takiyuddin telah membangkitkan tatacara Peraturan Mesyuarat Fasal 4 (1), Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat Malaysia yang menetapkan syarat iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat diadakan.

Dalam hal ini, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah, memaklumkan bahawa notis telah diterima pada 2 Julai 2018, iaitu 14 hari sebelum Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan laporan media, keadaan ini bercanggah dengan kenyataan berkenaan cadangan calon Yang di-Pertua Dewan Rakyat oleh pemimpin-pemimpin PH bermula dari 6 Julai 2018 dan pengesahan oleh Pengerusi PH pada 15 Julai 2018.

“Percanggahan ini telah menimbulkan kecurigaan apakah tarikh sebenar notis makluman Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimanipulasi pihak kerajaan untuk mematuhi peraturan Mesyuarat.

“Sekali lagi ditekankan, blok Pembangkang tidak membantah calon Yang di-Pertua yang dinamakan tetapi membantah penafian terhadap hak untuk membangkitkan kemungkinan berlaku perlanggaran prosedur yang serius berikutan tindakan Kerajaan yang tidak efektif dalam mematuhi peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.” – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.