UEC Bukan Tentang Kaum Cina Tapi Soal Perpaduan, Kerajaan Melaka Diminta Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR, 6 Julai – UMNO menuntut kewajaran dan rasional di sebalik tindakan Kerajaan negeri Melaka yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina sebagai kelayakan rasmi untuk pengambilan jawatan kerajaan negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jasin, Dr Akmal Saleh menganggap bahawa soal keputusan kerajaan yang melibatkan perpaduan masa hadapan untuk dibincangkan secara terbuka.

“Persoalan kami ialah tentang kewajaran dan rasional di sebalik keputusan Kerajaan negeri Melaka tersebut. Kami tidak menentang kaum Cina Malaysia ataupun sistem sekolah vernakular yang banyak juga jasanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dilaporkan, petang semalam, Pemuda UMNO Jasin bersama pergerakan Pemuda UMNO bahagian-bahagian Negeri Melaka telah menghantar surat ke pejabat Ketua Menteri Melaka untuk meminta penjelasan dan diberi ruang dialog bagi membincangkan isu UEC ini.

“Isu UEC bukan sekadar isu polisi tetapi isu perpaduan. Kami mohon pihak kerajaan Negeri Melaka tidak memandang enteng hal sebegini,” tegasnya.

Jelasnya, UMNO sentiasa konsisten dengan polisi untuk mengamalkan politik matang lantas melihat demonstrasi sebelum dialog dan perbincangan bersama adalah tindakan yang perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Kita perlu memberikan ruang dan peluang kepada YAB Ketua Menteri untuk memberikan penjelasan dan beliau harus diberikan peluang mendengar cadangan penambahbaikan daripada kami terlebih dahulu sebelum kita mengadakan demonstrasi.

“Kami menunggu maklum balas pejabat Menteri Besar Melaka dengan penuh harapan.”

Berkaitan isu tersebut, beliau turut mempelawa Pemuda Pas Melaka untuk turut serta dalam perbincangan demi untuk kebaikan seluruh rakyat Melaka. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.