Sidang DUN Perlis Bermula 20 Julai Ini

KANGAR, 5 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas akan diadakan selama tiga hari di Kompleks DUN di sini bermula 23 Julai ini.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan istiadat persidangan tersebut.

Istiadat angkat sumpah anggota DUN dan pemilihan Speaker DUN pula akan diadakan di Kompleks DUN pada 20 Julai, katanya semasa ditemui pada majlis Meraikan Syawal dan Pelancaran Program Kolaborasi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs di sini, hari ini.

Azlan yang ditanya mengenai calon Speaker enggan mengulas dan hanya berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Bagaimanapun timbalan ketua UMNO bahagian Arau Datuk Ismail Kassim kemudianmengisytiharkan keluar parti itu dan menjadi anggota bebas.

Mengenai isu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Azlan berkata ia tidak akan dibubarkan tetapi anggota jawatankuasa itu tidak akan dibayar elaun sebagaimana kerajaan BN sebelum ini.

“Kerajaan negeri perlu membuat kajian untuk disesuaikan dengan kedudukan kewangan berikutan kerajaan pusat kini dikuasai PH,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mei lepas mengumumkan pembubaran JKKK di seluruh negara.