Anggota UMNO Bagan Dipecat Kerana Bersekongkol Dengan PH

ALOR GAJAH, 30 Jun — UMNO pusat telah menerima surat laporan berhubung dua anggota Bahagian UMNO Bagan yang dipecat semalam kerana bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata mana-mana anggota UMNO yang bersekongkol dengan parti lain demi menjatuhkan UMNO serta pucuk pimpinannya dianggap melanggar prinsip asas perjuangan parti.

Ab Rauf juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menafikan dakwaan Naib Ketua Pemuda Bahagian Bagan Mohamad Afendi Azni mendakwa dipecat kerana bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan, dan menegaskan UMNO sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja calon untuk bertanding.

“Kita telah memutuskan bahawa secara automatik mana-mana anggota Umno yang bersekongkol atau menjadi pencadang kepada mana-mana calon, menyokong mana-mana parti, sewaktu pilihan raya mereka akan dipecat.

“Dua anggota Bahagian UMNO Bagan ini telah pun dikaitkan dengan tuduhan tersebut dan UMNO pusat memutuskan mereka wajar dipecat,” katanya kepada Bernama pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Semalam, dua anggota UMNO Bahagian Bagan, Mohamad Afendi, 45, dan Shahbani Mat Diasa, 54, masing-masing hilang kelayakan bertanding jawatan Ketua Bahagian dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan apabila menerima surat pemecatan keanggotaan.

Sementara itu, pada persidangan tersebut Ab Rauf menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.