Akaun UMNO Negeri Sembilan Tidak Dibekukan – Mohamad

SEREMBAN, 30 Jun – Akaun UMNO Negeri Sembilan dan Bahagian Rembau tidak terlibat dalam pembekuan aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pembekuan beberapa akaun UMNO ada kaitan dengan penyiasatan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Setakat petang semalam, saya sudah minta pejabat supaya bertanyakan pada bank tentang keadaan akaun UMNO perhubungan dan bahagian Rembau, tiada apa-apa.

“UMNO negeri pun tidak pernah menerima peruntukan terus dari presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Rembau di sini.

Beliau yang juga merupakan calon Timbalan Presiden bagi pemilihan UMNO berkata parti itu akan meminta pertimbangan dari pihak berkuasa atas nama kemanusiaan untuk membolehkannya membayar gaji kakitangan-kakitangannya.

“Saya tidak nampak bahawa ada unsur nak menganiaya sesiapa, cuma dibekukan untuk siasatan,” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit