Bekukan Akaun UMNO : Kerajaan PH Digesa Buktikan Mereka Amal ‘Rule Of Law’ Sebenar

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan tegas membantah tindakan SPRM yang telah membekukan akaun UMNO dan mendesak SPRM menarik balik tindakan tersebut kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiayai operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi Malaysia Baharu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan satu tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

“SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka tentang punca sebenar akaun UMNO dibekukan.

“Lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.

“Sebaliknya ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan yang melibatkan pelanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO,” bidasnya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnys, dalam konteks ini Pemuda UMNO menuntut prinsip undang-undang ‘Presumption of Innocence’ dihormati oleh semua pihak termasuk SPRM.

“Di era Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah Kerajaan sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun para pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

“Apakah ini sebahagian daripada model ‘Malaysia Baharu’ yang dicanangkan, namun pada masa sama sewenangnya membuli parti lawan yang tidak sehaluan?” soalnya.

Dalam hal ini, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO berpandangan bahawa tindakan ini hanya akan menggambarkan sikap sebenar Kerajaan PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan parti UMNO, yang kini masih merupakan parti tunggal terbesar yang mewakili suara Melayu Islam dalam Dewan Rakyat.

“Pembekuan tersebut bukan sahaja akan menganiayai pekerja-pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan mereka, malah boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas.”

Dengan ini, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO memohon SPRM memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yg bersifat ‘ordinary course of business’ dibenarkan melalui akaun-akaun yg dibekukan ini.”

“Pemuda UMNO mengalu-alukan sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan Kedaulatan Undang-Undang (Rule Of Law) sebagaimana yang sering dicanangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan. YB Pemangku Presiden dalam konteks ini, sudahpun memberikan jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.