Isu Bahasa: NGO Serah Memorandum, Tuntut Guan Eng Mohon Maaf

PUTRAJAYA, 29 Jun – Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu diketuai Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Hanif Omar hari ini menyerahkan Memorandum Mendaulatkan Bahasa Melayu Dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Memorandum empat muka surat itu antara lain mengandungi desakan agar Guan Eng menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan dan menarik balik semua dokumen yang ditulis dalam bahasa Mandarin.

Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Suhaili Ahmad menerima memorandum tersebut di kementerian berkenaan di sini.

Memorandum itu turut menuntut Kementerian Kewangan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan, menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi contoh kepimpinan yang mengutamakan bahasa Melayu.

Terdahulu, bekas Ketua Polis Negara itu menyertai himpunan membantah perlakuan Guan Eng, anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama beberapa tokoh ternama negara secara aman di hadapan Masjid Putra sejurus selesai solat Jumaat.

Antara tokoh lain ialah bekas Pengerusi MAS Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan, Setiausaha MPM Datuk Dr Hassan Mad dan Ketua Dua Gapena Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Dalam ucapannya, Hanif menuntut Guan Eng memohon maaf atas perlakuannya menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata perkara itu perlu dilakukan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui perbuatan tersebut sebagai satu kesilapan yang perlu dielakkan.

Hanif berkata sebagai menteri, Guan Eng perlu menjadi contoh kepada kaum bukan Melayu lain dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang diakui telah menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.