UMNO Perlu Bersikap Terbuka, Lebih Demokratik – Ku Li

IPOH, 28 Jun – UMNO perlu bersikap terbuka dan lebih demokratik serta memperbaiki segala kelemahan mengikut kehendak anggotanya serta pengundi, kata calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata setiap pandangan yang dilontarkan oleh peringkat akar umbi perlu diteliti oleh pemimpin di setiap peringkat agar ia boleh menjadi asas penggubalan dasar dan sebagainya demi perjuangan parti.

“Mereka (anggota, pengundi) tidak mahu mendengar dari ‘top to bottom’ lagi sebaliknya mahu dari ‘bottom to top’.

“Saya sudah ke Sabah, Johor, Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah. Ramai yang membayangkan hasrat supaya kita (UMNO) lebih terbuka, transparen dan mahu kepada ‘proper governance’ yang lebih bertanggungjawab, bukan kita tak lakukannya sebelum ini tapi itulah yang dikehendaki oleh akar umbi kita,” katanya.

Beliau atau lebih mesra dipanggil Ku Li, bercakap kepada pemberita selepas sesi ramah mesra ‘Bersama calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah’ di Hotel Impiana semalam yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, Ku Li yang juga anggota Parlimen Gua Musang berkata tujuan perjuangan UMNO tidak perlu disentuh kerana ia masih kekal sepertimana ditubuhkan pada tahun 1946.

Katanya, kredibiliti dan integriti UMNO yang perlu diperbaiki agar tidak dipersoalkan oleh rakyat.

Mengulas mengenai tindakan dua anggota parlimen di Perak umum keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN), Ku Li berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan berjumpa dengan mereka memandangkan tindakan mereka mengkhianati mandat yang diberikan.

Selasa lalu, anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal umum keluar UMNO dan BN manakala anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali turut mengambil tindakan yang sama pada Ahad lalu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.