UMNO Akan Buktikan Wang Milik UMNO Sah, Sedia Bekerjasama Dengan SPRM

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun bank ibu pejabat UMNO dan akaun lain.

Tegasnya sebagai Pemangku Presiden, beliau akan berusaha membuktikan bahawa wang milik UMNO adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram.

“Selagi memimpin UMNO, saya akan menentang dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuat ugutan dan melakukan diskriminasi terhadap UMNO.

“Ugutan dan penderaan politik bukan cara untuk mentadbir negara oleh mana-mana kerajaan di sebuah negara demokrasi”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru beliau berharap semua ahli UMNO akan bersama-sama dengannya untuk memastikan UMNO terus wujud dan menentang sebarang usaha melumpuhkannya.

“Di bawah kepimpinan saya kelak, UMNO akan bangkit sebagai sebuah parti Melayu dan Bumiputera yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara”, ujarnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.