Tindakan Parti Komponen, Wakil Rakyat Keluar Parti Dalam Pengetahuan UMNO

SANDAKAN, 28 Jun – Tindakan parti keluar dari komponen Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat UMNO keluar parti adalah dalam pengetahuan kepimpinan UMNO, kata Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, terdapat ahli UMNO resah dengan senario ini yang berlaku disebabkan politik negara dan beberapa negeri belum stabil.

“Kita harap semua ahli UMNO bersabar…Apa juga alasan yang diberikan oleh mereka yang nak keluar itu tidak semestinya alasan yang sebenar sepertimana yang kita tahu.

“Biarlah mereka sendirilah nak sampaikan alasan walaupun kita tahu ada kalangan mereka memberikan alasan yang bukan saja tidak begitu munasabah tetapi realitinya terpaksa berlaku begitu,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Beliau berkata yang penting semua ahli UMNO mesti mengekalkan solidariti terhadap parti.

Menurut beliau, harus difahami bahawa parti itu tidak datang kepada individu tapi datang sebagai satu saf (barisan).

Dalam pada itu, beliau meminta pelaksanaan mesyuarat dan pemilihan di semua bahagian di negara ini pada Sabtu ini dilaksana mengikut peraturan.

Terdapat 191 bahagian UMNO di negara ini dan menyaksikan 72 bahagian tiada mempertandingkan jawatan ketua bahagian.

Perkara yang boleh mencetuskan perpecahan perlu dielakkan dengan melaksanakan mesyuarat dan pemilihan dalam suasana keluarga.

Beliau juga mencadangkan mesyuarat dilaksanakan pada sebelah pagi dan pemilihan dilakukan awal supaya keputusan tidak diperoleh lewat.

Sebaiknya keputusan pemilihan di bahagian dan pusat dapat diperoleh pada hari yang sama, katanya.