Peguam UMNO Akan Teliti Ikut Perundangan Tentukan Harta Parti – Zahid

MELAKA, 28 Jun – Para peguam UMNO akan meneliti barangan rampasan dalam siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya ada yang dimiliki oleh parti itu, kata Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden parti berkata sekiranya ada antara barangan rampasan itu adalah milik parti itu, pihaknya bersedia mengikut perundangan sedia ada.

“Kita akan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada dan serahkan kepada peguam untuk mengaturkannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sesi Pengenalan Calon-calon Pemilihan UMNO 2018-2021, di Ayer Keroh di sini hari ini.

Majlis yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Melaka itu turut dihadiri pengerusinya Datuk Seri Idris Haron, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan calon yang bakal merebut jawatan tertinggi pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh meminta UMNO memberi keterangan kepada polis jika benar ada antara barangan rampasan termasuk wang tunai melibatkan siasatan kes 1MDB adalah milik parti itu.

Amar Singh berkata namun pihaknya belum dapat mengenal pasti pemilik barangan rampasan yang dibuat di enam premis melibatkan bekas perdana menteri itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga calon presiden UMNO berkata beliau berikrar akan terus mempertahankan empat prinsip perjuangan parti itu jika dipilih memimpin parti itu pada pemilihan parti Sabtu ini.

Beliau berkata empat prinsip perjuangan itu meliputi hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, agama Islam dan raja-raja Melayu.

Katanya, empat prinsip perjuangan itu adalah manifesto yang diperjuangkan beliau pada pemilihan pucuk pimpinan 30 Jun ini.