Md Alwi Che Ahmad Dilantik Ketua Pembangkang Dun Kelantan

KOTA BHARU, 28 Jun – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga ADUN Air Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Md Alwi yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan dipilih berdasarkan pengalaman luas beliau dan merupakan seorang ADUN Barisan Nasional (BN) yang senior di DUN Kelantan.

“Kita rasa dengan pengalaman, ketokohan, pendidikan agama, pendidikan profesional dan lain-lain, kita dapati beliau layak untuk menjadi pemimpin pembangkang yang mampu memberi idea bernas serta buah fikiran yang konstruktif bagi menegur kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN Kelantan bagi Penggal ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kesemua 45 ADUN membabitkan 37 ADUN PAS dan lapan ADUN BN mengangkat sumpah pada majlis berkenaan.

Bekas ADUN Paloh Datuk Nozula Mat Diah adalah ketua pembangkang bagi sidang DUN Penggal ke-13.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan persekutuan ketika ini, tidak mempunyai wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN Kelantan selepas kesemua calon mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Persidangan pertama penggal ke-14 DUN Kelantan turut menyaksikan Datuk Abdullah Ya’akub dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan bagi penggal kedua berturut-turut hari ini, manakala ADUN Bukit Panau Datuk Abdul Fattah Mahmood dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Abdullah bukan seorang ADUN namun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan seorang ADUN tambahan dilantik bagi menjalankan tugas sebagai seorang Speaker DUN.

Ditanya mengenai tindakan BN untuk menyertai sesi perbahasan di DUN Kelantan bagi penggal ini, Mustapa berkata pihaknya akan memainkan peranan dengan lebih berkesan dengan membuat penyelidikan terhadap sesuatu isu dan membentangkan fakta-fakta yang lengkap.

“Yang pastinya mana yang baik kita sokong dan mana yang tak betul kita akan tegur kerana semua wakil rakyat ini telah bersumpah untuk membela rakyat,” katanya.

Mustapa turut menyambut baik dan mengucapkan terima kasih terhadap kerajaan negeri yang menyatakan kesanggupan untuk menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang pada penggal ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.