Jangan Anak Tirikan Negeri Ditadbir BN-Sharkar Shamsuddin

TEMERLOH, 28 Jun – Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik langkah penambahbaikkan pentadbiran di peringkat kampung yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan, namun berharap ia dapat dilaksana secara adil termasuk kepada negeri pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pengagihan peruntukan dan bayaran elaun kepada ketua kampung serta barisan anggota jawatankuasa juga perlu diagihkan untuk semua negeri termasuk Pahang yang masih diterajui Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil kira kepentingan rakyat mendahului sentimen politik seperti apa yang mereka selalu tekankan termasuk dalam pengagihan dan bayaran elaun kepada Jawatankuasa dan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Pengumuman bayaran elaun kepada JKKK ini sudah tentu satu berita yang ditunggu-tunggu seluruh kepimpinan masyarakat namun jika ia hanya diberikan kepada negeri dikuasai Pakatan Harapan ia akan mengecewakan rakyat yang turut mengundi PH di negeri dikuasai BN ketika ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun semalam mengumumkan kerajaan hanya akan memperuntukkan RM100 juta untuk pembangunan kampung kepada negeri-negeri yang hanya ditadbir Pakatan Harapan sementara ia mengkaji mekanisme saluran dana untuk negeri-negeri pembangkang.

Menurut Rina, dana itu untuk pembangunan ekonomi dan sebanyak 16,000 kampung yang layak boleh memohon geran sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan ekonomi komuniti tempatan

Dana itu juga untuk bayaran elaun bulanan ketua-ketua kampung, setiausaha mereka dan ahli-ahli jawatankuasa termasuk bayaran hadir mesyuarat sebanyak RM50.

Dalam masa yang sama, JKKK juga diberi nama dan jenama baharu iaitu Majlis Pembangunan Komuniti Kampung.