Beku Akaun UMNO : Khairy Harap Hanya Untuk Siasatan

BAGAN SERAI, 28 Jun – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO pusat dan beberapa negeri diharap hanya untuk menjalankan siasatan bukan usaha untuk mengharamkan parti itu, kata calon presiden UMNO Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata sekiranya dipilih sebagai presiden UMNO beliau akan bertindak segera dan berusaha untuk memastikan akaun dan harta sah milik UMNO tidak dirampas.

“(Sekiranya menang) Yang pertama kita akan dapatkan nasihat peguam, jumpa pihak berkuasa dan bertemu dengan Perdana Menteri…kalau (pembekuan) adalah untuk buat siasatan tak apa, tapi jangan ada usaha untuk haramkan UMNO.

“Sekiranya ada sumbangan daripada pihak tertentu terhadap UMNO, maka saya harap mereka dapat memberikan perinician kepada parti UMNO kerana saya tidak mahu disebabkan ada apa pun sumbangan kepada UMNO daripada pihak tertentu ia menjejaskan parti UMNO secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sepetang bersama calon Presiden UMNO Khairy Jamaludin di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata pembekuan akaun UMNO juga menyukarkan pelaksanaan kerja-kerja pentadbiran di pelbagai peringkat.

“Saya hanya terima berita bahawa akaun UMNO Malaysia, Selangor, Pulau Pinang dan Johor dibekukan. Dengan tindakan pembekuan akaun ini akan menyusahkan UMNO menjalankan kerja pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Rembau itu turut mengumumkan tambahan manifestonya iaitu memberikan tempat sebanyak 30 peratus kepada Wanita dalam Majlis Tertinggi UMNO sekiranya dipilih sebagai Presiden.

Katanya, langkah itu penting bagi menampakkan UMNO sebagai sebuah parti yang progresif dan parti masa hadapan yang memberikan ruang yang lebih terbuka kepada wanita.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.