1MDB: Jangan Tuduh Sebelum Dibuktikan Bersalah – Bekas MB Terengganu

KUALA NERUS, 28 Jun – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut melibatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir berkata siasatan harus diserahkan sepenuhnya kepada SPRM atau badan siasatan bebas lain yang berkaitan sebelum menuduh individu tertentu bertanggungjawab terhadap skandal yang berlaku kepada syarikat pelaburan strategik itu.

“Saya percaya dan yakin syarikat 1MDB ditubuhkan untuk membuat pelaburan dan sudah tentu setiap pelaburan ada untung dan rugi.. yang penting kita jangan buat keputusan awal sebelum dapat bukti siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Jika ada pihak yang bersalah kita serah pada SPRM untuk diberikan hukuman cuma kita jangan malukan orang-orang tertentu tanpa tahu cerita sebenarnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seberang Takir di Dataran Permata di sini hari ini.

Turut hadir, isteri, Toh Puan Seri Harlina Zakaria, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Abdul Rahman.

Pada Selasa (26 Jun) Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 9.30 pagi dan diiringi oleh seorang ahli keluarga bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

1MDB bermula sebagai Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Berkenaan TIA, Ahmad Razif berkata tidak banyak maklumat yang diketahui olehnya memandangkan segala keputusan dibuat mengikut panel penasihat yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Ketika itu kita hanya ikut nasihat panel yang dilantik…tidak boleh nak cakap dengan jelas apa peranan sebenar TIA kerana setahu saya ia ditubuhkan untuk membuat pelaburan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi demi masa depan Terengganu,” katanya.

Mengulas mengenai peranan sebagai Ketua Pembangkang buat pertama kali pada Sidang DUN 1 Julai depan, Ahmad Razif berkata beliau akan memikul jawatan itu dengan berpaksikan kepada konsep politik matang.

“Kita membangkang bukan secara membuta tuli tapi mengamalkan konsep politik matang supaya apa yang kita rancangkan sebelum ini untuk manfaat negeri dan rakyat Terengganu dapat dilaksankan.

“Terutama yang akan fokuskan adalah pendidikan di mana Terengganu kini kita mengungguli..kita mahu agenda pendidikan yang kita asaskan sebelum ini terus dilaksanakan (tidak kira sesiapa yang memerintah),” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit