UMNO Salur Semula Dana Ke Semua Bahagian Seluruh Negara

KOTA KINABALU, 27 Jun – UMNO akan menyalurkan semula dana ke semua badan perhubungan negeri termasuk peringkat bahagian dan sayap parti itu di seluruh negara, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden parti berkata dana berkenaan bagi membolehkan UMNO di semua peringkat menjalankan pentadbiran dan pelbagai aktiviti serta program parti seperti biasa sebagaimana sebelum ini.

“(Sebelum ini) Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) telah mengeluarkan surat pekeliling bagi menghentikan bantuan itu, kerana pada ketika itu kami mahu setiap bahagian menghidupkan aktiviti melalui dana masing-masing.

“(Bagaimanapun) jelas bahawa kemampuan kewangan di semua peringkat sayap dan bahagian tidak begitu kukuh, maka ibu pejabat mengambil tanggungjawab untuk meneruskan dana itu,” katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan anggota jawatankuasa UMNO Bahagian-Bahagian Sabah serta sambutan Hari Raya  di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Setiausaha UMNO negeri Datuk Yahya Hussin; Timbalan Setiausaha UMNO negeri Datuk Masidi Manjun; dan Bendahari UMNO negeri  Datuk Hajiji Noor.

Ahmad Zahid berkata dana berkenaan antara lain akan digunakan bagi menampung kos pentadbiran dan juga kos penggajian sekali gus menjalankan aktiviti parti sebagaimana dilakukan sebelum ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.