UMNO Mampu Bangkit Jika Anggota Bebas Bersuara – Ku Li

KANGAR, 27 Jun – Tengku Razaleigh Hamzah yakin UMNO mampu bangkit semula dan menerima sokongan orang Melayu jika anggotanya diberi kebebasan bercakap dan menegur pemimpin  mereka.

Katanya itulah yang dimahukan oleh anggota UMNO selepas parti tersebut mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Mereka mahukan perubahan,” katanya selepas menemui pemimpin-pemimpin UMNO Perlis di Hotel Putra Regency di sini hari ini yang turut dihadiri  Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun  Timbalan Pengerusi yang juga Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man tidak kelihatan.

Tengku Razaleigh mengulas hasil pertemuannya dengan pucuk pimpinan UMNO negeri-negeri selepas menawarkan diri bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan 30 Jun ini.

Wakil rakyat Parlimen Gua Musang itu ditentang empat calon lain termasuk Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Ditanya mengenai sokongan yang diterimanya setakat ini, Tengku Razaleigh berkata: “Sambutan yang diterima amat baik tapi tak tahulah sebab undi adalah hak masing-masing.

“Saya juga tidak ada kelebihan berbanding dua lagi pencabar saya tetapi mereka (anggota parti) hendaklah menilai setiap calon dengan bijak,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.