Politik UMNO Kini Berorientasikan Politik Isu – Zahid

ALOR SETAR, 26 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan politik yang berunsurkan pembangunan dan perkhidmatan mungkin akan berubah kepada politik isu kerana UMNO hari ini adalah pemantau kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ditakdirkan saya dipilih sebaga ketua pembangkang nanti saya akan menentukan bahawa setiap ahli parlimen kita mempunyai kualiti di dalam perbahasan. Saya akan minta Datuk Azalina Othman Said untuk jadi ketua dan kumpulkan seluruh penyelidik untuk membantu ahli parlimen kita supaya kita tidak hanya bercakap berdegar-degar sebaliknya isu-isu yang kita bawa insya Allah berdasarkan kepada isu rakyat yang selama ini ditabur fitnah dan dibalut dengan kebencian.

“Zaman bersedih telah berlalu…biarpun belum 100 hari diperintah mereka tetapi yakinlah rakyat yang mengundi mereka kecewa…di dalam media sosial mula diperkatakan dan kita terbaca penyesalan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan calon-calon bertanding pemilihan UMNO 2018 peringkat negeri Kedah dan sambutan hari raya Aidilfitri, di Dewan TH, di sini, hari ini.

Tegas Ahmad Zahid apa yang dilakukan itu bukanlah untuk menyanggah atau sebaliknya namun itulah yang dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

“Kita bukan mahu untuk menyanggah mereka tetapi kita bertindak dalam orientasi politik isu kerana itu kehendak mereka dan kerana itulah yang dilakukan oleh mereka sewaktu mereka menjadi pembangkang. Insya Allah kini kita jadi pembangkang dan pendekatan kita harus lebih tersusun, harus lebih berwibawa

“Pembangkang setakat ini ada 71 kerusi di Parlimen. Insya Allah kita akan bersatu hati dengan Pas sebagai pembangkang di Dewan Rakyat. Walaupun ini pertama kali menjadi pembangkang tetapi suara UMNO dan Pas akan kedengaran dengan kuat di Parlimen. Insya Allah,” katanya.

Katanya lagi untuk tempoh yang akan datang, jika diperbetulkan segala kesilapan dan masing-masing bersatu hati dan kembali di dalam satu pasukan UMNO insya Allah parti akan terus menjadi kerajaan semula.

“Tetapi saya juga percaya jika ketidakpuasan hati berlaku di kalangan mereka, maka yang akan berlaku ada perpecahan dan pasti mereka akan mencari UMNO untuk menjadi rakan kongsi bagi kita menjadi sebahagian daripada kerajaan walaupun belum cukup tempoh lima tahun,” katanya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.