Mustapa Harap Akan Ada Wakil Kelantan Dalam Kabinet PH

KOTA BHARU, 27 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan ada wakil Kelantan dalam kabinet kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan bagi memastikan aspirasi rakyat negeri ini dapat dimajukan ke peringkat pusat.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak saluran lain untuk mengutarakan pelbagai hal berkaitan negeri ini tetapi perwakilan secara langsung dalam kabinet adalah penting dalam memastikan tindakan lebih pantas dapat diambil.

“Wakil ini penting kerana Kelantan seperti juga negeri lain mempunyai banyak isu seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan, isu sempadan dan jenayah yang perlu dimajukan ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di majlis jamuan hari raya bersama beliau di sini, Selasa malam.

Beliau berkata secara realitinya sebelum ini, Kelantan masih mempunyai wakil kabinet di peringkat pusat walaupun Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak memerintah Kelantan.

Jika benar dakwaan bahawa tiada wakil Kelantan dalam kabinet kerajaan baharu seperti yang ditularkan ia adalah sesuatu yang mendukacitakan seluruh rakyat Kelantan, katanya.

“Bagaimanapun, jika tular ini benar, kita harap suatu hari akan terdapat senator dilantik dari Kelantan (dan diberi jawatan menteri atau timbalan menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan senarai penuh kabinet yang tidak meletakkan sebarang wakil dari Kelantan yang tular sejak semalam.

Sementara itu, Mustapa berkata beliau menyambut baik pertemuan rombongan kerajaan Kelantan pimpinan PAS dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lepas kerana hubungan baik dengan kerajaan pusat sangat penting bagi Kelantan.

Beliau berkata Kelantan memerlukan banyak bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kerana secara teknikalnya negeri ini tidak mempunyai hasil yang banyak seperti negeri lain.

Kelantan banyak bergantung kepada geran dan projek khas kerajaan persekutuan dan mengharapkan sesuatu yang positif akan terhasil daripada pertemuan itu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.