Gabungan Pemimpin Lama Dan Baru Kombinasi Terbaik Pastikan UMNO Kembali Bangkit

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata pengalaman orang lama dan idea pemimpin muda adalah antara kombinasi terbaik dalam usaha pembaharuan dan pemulihan UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Jelas beliau, gabungan barisan pemimpin dua aliran generasi itu adalah formula ampuh dalam memastikan parti kembali bangkit dan membina semula keyakinan rakyat.

“Jika hanya orang muda sahaja dipilih untuk memimpin UMNO atas alasan untuk meremajakan parti dan menarik sokongan generasi muda, ia akan menjadi pincang kerana kurangnya pengalaman kepimpinan.

“Tapi kalau hanya orang lama sahaja yang diangkat jadi pemimpin UMNO, juga tidak elok sebab percambahan idea-idea baharu untuk parti mungkin kurang dan UMNO akan dilihat berada pada takuk lama sahaja.

“Jadi kolaborasi pemimpin lama yang berpengalaman dengan tenaga muda yang idealis dan bersemangat waja amat perlu untuk membarisi Majlis Tertinggi (MT) UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Ismail, gabungan lama dan baru ini perlu diperkasakan untuk menjadi platform penasihat berkualiti kepada pucuk pimpinan utama parti seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden UMNO.

Selain itu tambah beliau, dengan kemantapan barisan MT UMNO yang baharu ini kelak akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan parti selepas kekalahan pada PRU-14 lalu.

“Barisan MT UMNO kali ini perlu memastikan mereka mampu menjadi penasihat dan juga kumpulan sokongan yang mantap, berwibawa dan berkualiti kepada pucuk tertinggi pimpinan parti.

“Mereka perlu memberikan pandangan terbaik dan tidak lagi sekadar mengikut arus sahaja,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.