UMNO Ada 53 Kerusi Parlimen… Zahid Tidak ‘Terhegeh-hegeh’ Atau Cuba Gadai Maruah UMNO

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad membidas mereka yang menyifatkan Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘terhegeh-hegeh’ atau cuba menggadai maruah UMNO.

Ini merujuk kepada kenyataan Dr Ahmad Zahid mengenai UMNO membentuk kerajaan dengan sesiapa saja termasuk jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Pada hemat saya, ia mengandungi makna terselindung bagi menggambar betapa ia sebenarnya adalah suara dan akar umbi yang ingin melihat UMNO memiliki kuasa di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujar beliau, sebagai parti terbesar negara dan parti Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan, adalah janggal bagi negara majoriti Melayu ini duduk di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

“Apatah lagi dengan 53 kerusi yang ada menjadikannya parti yang mempunyai paling banyak kerusi secara individu.

“Tidak timbul soal ‘melukut di tepi gantang’ dalam isu ini kerana UMNO perlu berkongsi kuasa dengan pentadbiran yang ada memandangkan suaranya yang ‘kuat’ di Parlimen tidak memungkinkan Pakatan Harapan dapat bertakhta dengan aman.”

Tegasnya, walaupun sebagai pembangkang, UMNO masih dilihat sebagai suara majoriti rakyat, khasnya orang Melayu.

“Jadi, bukanlah mudah bagi PH menafikan suara UMNO di Parlimen, terutama dalam mencari undi bagi meluluskan sesuatu usul.

“Oleh itu, daripada menjadi penghalang, lebih baik UMNO ditarik mengganggotai kerajaan menerusi satu formula khas penyatuan kerajaan. Lagipun, UMNO ada pengalaman luas mentadbir negara dari segenap sudut.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.