UMNO Perak Kecewa Noor Azmi Keluar Parti

IPOH, 25 Jun – UMNO Perak kecewa dengan tindakan anggota Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar parti dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta merta semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata keputusan tersebut jelas mencerminkan sikap Dr Noor Azmi yang hanya mementingkan diri sendiri.

Zambry turut mempertikaikan dakwaan anggota parlimen itu kononnya UMNO Bahagian Bagan Serai telah mensabotaj beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Beliau boleh beri apa sahaja alasan untuk keluar parti termasuklah dakwaan disabotaj, jika benar ada unsur sabotaj, takkanlah  beliau boleh menang di situ,” kata Zambry yang juga bekas Menteri Besar.

Dr Noor Azmi memenangi kerusi itu dengan majoriti 172 undi setelah mengalahkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS.

Anggota Parlimen itu dalam sidang media di Bagan Serai semalam memaklumkan beliau kini  wakil rakyat bebas, dan membayangkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.