Tidak Mampu Hormati Perlembagaan? Jangan Pula Provokasi Orang Lain

PERKARA 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

Dalam usaha untuk memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul serta menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, Kerajaan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 bertajuk Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

Kerajaan juga telah mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 9 Tahun 2011 bertajuk Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

Di bawah Perkara V. Maklum Balas Aduan Di Akhbar Dan Isu Media Massa, yang mana semua maklum balas berkaitan aduan dan isu di media massa mengenai Perkhidmatan Awam oleh Agensi Kerajaan hendaklah disediakan dalam Bahasa Kebangsaan.

Bagi siaran dalam media massa berbahasa Inggeris, terjemahan dalam Bahasa Inggeris boleh disertakan sebagai dokumen lampiran bagi memastikan maksud asal maklum balas tidak disalah tafsir.

Persoalannya, apakah rasional di sebalik penggunaan bahasa Mandarin oleh Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya?

Adakah Masyarakat Cina di negara ini tidak memahami bahasa kebangsaan?

Atau Lim Guan Eng sekadar mahu menimbulkan sentimen rasis dalam kerajaan PH?

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Dalam konteks pentadbiran negara, bahasa kebangsaan dilihat sebagai bahasa rasmi untuk negara, ianya bukan bahasa untuk kaum Melayu sahaja.

Secara logik, di mana-mana negara seluruh dunia jua akan menggunakan bahasa kebangsaan negara tersebut dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara antarabangsa.

Secara peribadi, saya beranggapan rakyat Malaysia tidak kisah pun bahasa apa pun yang dipertuturkan oleh rakyat negara ini setiap hari.

Tiada sesiapa pun yang melarang walau sesiapa jua untuk menggunakan sebarang bahasa untuk dipertuturkan.

Tiada sesiapa pun yang akan dimasukkan ke penjara atau dipukul di tempat awam sekiranya bercakap dalam bahasa selain bahasa kebangsaan.

Namun, jika Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi, ianya menimbulkan persoalan tentang motif tindakan tersebut.

Orang Melayu juga bertutur dalam pelbagai bahasa. Ada kaum Bugis, Jawa, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Bajau, Melanau dan lain-lain, namun semua rakyat Malaysia hormati bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Malah di jabatan Agama Islam yang rata-ratanya fasih berbahasa Arab juga akan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi.

Apabila Lim Guan Eng menolak sesuatu yang rasmi, ianya menunjukkan sifat sombong dan bongkak serta rasis dan ianya adalah satu tindakan provokasi ke atas bangsa-bangsa lain.

Jika Lim Guan Eng tidak mampu memahami perkara pokok ini, ianya menunjukkan bahawa Lim Guan Eng tidak mampu menghormati undang-undang negara. Sebagai pemimpin negara, Lim Guan perlu mengubah mindanya untuk memupuk perpaduan kaum dan rasa hormat kepada negara.

Anina Saadudin
Presiden Empirical Malaysia