Sifat Keterbukaan Parti Bukti UMNO Masih Relevan Dan Kuat – Noraini Ahmad

 

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad berkata, sambutan hangat dalam pemilihan UMNO pada penggal ini jelas menunjukkan bahawa parti keramat ini masih relevan dan sangat kuat.

Jelas beliau, sambutan hangat ini juga membuktikan masih ramai yang sayangkan parti dan mereka mahu bersama-sama membina kembali UMNO.

“Bila ada sifat keterbukaan ini, maka ia membuktikan UMNO masih relevan dan kuat, walaupun dalam keadaan BN bukan lagi parti pemerintah tetapi masih ramai yang menawarkan diri untuk bertanding.

“Mereka yang bertanding ini mahu bersama-sama berkhidmat untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online baru-baru ini.

Namun jelas Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi, apa yang penting adalah sikap berjiwa besar yang harus diamalkan oleh setiap yang bertanding.

“Bila ada pertandingan sudah pasti ada menang dan kalah. Maka jangan berkecil hati, pada akhirnya semua harus bekerjasama demi kelangsungan dalam parti.

“Tidak kira siapa yang menang dan kalah… yang menang adalah antara yang terbaik antara yang terbaik maka terus bersatu untuk kebaikan dalam parti kita ini,” ujarnya.

Noraini merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang baharu dipilih pada 23 Jun lalu.

Pemilihan UMNO bagi sesi 2018-2021 menyaksikan semua jawatan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pada 30 Jun ini, para perwakilan akan membuang undi bagi memilih siapa yang layak menerajui kepimpinan parti kerana kali ini tugas dan tanggungjawab adalah amat besar iaitu bagi memastikan UMNO terus bangkit dari kekalahan dalam PRU-14 yang lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.