Sebanyak 16 Daripada 26 Bahagian UMNO Di Johor Saksikan Pertandingan Sabtu Ini

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Sebanyak 16 daripada 26 Bahagian UMNO di Johor akan menyaksikan pertandingan jawatan Ketua Bahagian bagi penggal 2018 hingga 2021 pada pemilihan parti itu Sabtu ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday berkata 10 bahagian lagi tidak mempunyai pertandingan selepas Ketua Bahagian masing-masing menang tanpa bertanding.

“Sembilan daripada 10 ketua bahagian itu mempertahankan jawatan masing-masing manakala seorang lagi merupakan muka baharu daripada UMNO Bahagian Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mereka yang menang tanpa bertanding kerana tiada pencalonan lain diterima ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar), Datuk Md Jais Sarday (Kluang) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang).

Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Ir Hasni Mohamad (Pontian), Datuk Samsol Bari Jamali (Ayer Hitam), Datuk Ir Hamim Samuri (Ledang), Datuk Zulkurnain Kamisan (Parit Sulong), Ismail Mohamed (Pagoh) serta Muszaide Makmor (Kota Tinggi), katanya.

Md Jais berkata daripada 16 bahagian yang bertanding itu, sebanyak 14 daripadanya bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu manakala dua bahagian iaitu Bakri dan Batu Pahat pula menjadi perebutan tiga pihakenjuru.

Antara  Ketua Bahagian yang akan bertanding ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Maulizan Bujang (Tebrau).

Empat Ketua Bahagian yang tidak menawarkan diri untuk bertanding semula ialah Datuk Ab Aziz Kaprawi (Sri Gading), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman (Kota Tinggi) serta Datuk Md Othman Yusof (Tanjong Piai).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.