Perjuangan UMNO Tidak Goyah Selagi Berpegang Empat Perkara Asas Dalam Perlembagaan

IPOH, 25 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO tidak goyah selagi berpegang kepada empat pekara yang terkandung dalam perlembagaan negara iaitu yang melibatkan agama Islam, kedudukan istimewa orang-orang Melayu, Raja-Raja serta bahasa Melayu.

Menurut beliau soal berkenaan sepertimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara dan perkara lain akan terus diperjuangkan dan perjuangan UMNO tidak akan goyah selagi mana terus berpegang kepada soal berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi. Perkara 3(1) dalam Perlembagaan menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan kita mesti pertahankan kerana itu dalam Perlembagaan dan itu merupakan Rukun Iman kita.

“Keduanya kedudukan Raja-Raja Melayu. UMNO akan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan ketiganya UMNO juga akan mempertahankan hak istimewa orang-orang Melayu kerana itu dalam Perlembagaan.

“Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan…itu adalah perjuangan kita. Ya kita menghormati bahasa lain… Sebab itu kita tegaskan perjuangan kita tidak akan pernah goyah kalau empat perkara ini kita pegang selain perkara lain,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO 2018 serta sambutan hari raya UMNO Perak, di sini. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid seterusnya berkata terdapat mereka yang mengundi untuk melakukan perubahan pada pilihan raya umum yang lalu mula menyesal, namun sesal kemudian tidak berguna.

“Apabila mengundi kononnya mahukan perubahan pada pilihan raya umum yang lalu … janji 100 hari tidak dapat ditunaikan dan insya Allah janji setahun ini pun banyak yang tidak dapat ditunaikan di dalam manifesto dan dalam akujanji mereka.

“Mereka menyesal. Sesal kemudian tidak berguna. Insya Allah setakat ini kita akan jadi pembangkang tetapi pembangkang yang berwibawa dan konstruktif yang membina. Ya…kita senyap…ya…kita diam setakat ini tetapi kita mahu menjadi pemantau bagi seluruh rakyat.

“Jangan janji tetapi tidak ditepati. Jangan letakkan di dalam manifesto tetapi tidak dilaksanakan. Kita akan jadi pemantau bagi pihak rakyat kerana janji harus ditepati bukannya janji tidak dapat dikotakan,” ujarnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.