Pemuda Buang Imej Elitis, Bangsawan Untuk Dekati Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Pemuda UMNO akan membuang imej elitis dan bangsawan untuk mendekati rakyat demi membina semula kepercayaan terhadap parti tersebut, kata ketuanya yang baharu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Apa yang kami akan buat selepas pembentukan Exco ialah kita akan jelajah ke seluruh 191 bahagian, dan kita akan tidur di rumah Ketua Pemuda Cawangan di kampung-kampung. Tidak lagi di hotel-hotel mewah.

“Kita akan buang budaya ini dan akan bersama pemuda dan ada program pembudayaan halaqah bersama mereka. Menjiwai dan cuba untuk mendapatkan apa juga maklum balas daripada rakyat. Yang penting, kita kena dengar suara hati rakyat.  Kita buang istilah elit,” katanya kepada pemberita.

Komitmen itu diluahkan Ketua Pemuda UMNO itu selepas pengumuman keputusan pemilihan tiga sayap UMNO – Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri 2018 oleh Setiausaha Kerja parti, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh malam ini.

Ab Rauf sebelum itu mengumumkan pelantikan Asyraf dan Naib Ketua Pemuda baharu yang disandang Shahril Sufian Hamdan, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Hafiz Che Mat dan naibnya Izwan Ismail selepas menewaskan pencabar masing-masing.

Ab Rauf bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah undi yang diterima mereka dan semakan keputusan di laman web UMNO Online mendapati ia masih belum dipaparkan sehingga kini.

Menjelas lanjut, Asyraf berkata sistem pengkaderan untuk melahirkan ramai pemuda sebagai pemimpin yang berkaliber akan menjadi agenda utama Pemuda UMNO di bawah kepimpinan baharu.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata cadangan tersebut akan dijalankan melalui program latihan atau tarbiah supaya individu yang bakal memimpin pada masa akan datang memahami hala tuju UMNO serta mendapat keyakinan masyarakat sebagai parti pembangkang.

“Kami (UMNO) mahu membina ‘youngster factory’ atau kami panggil kilang pemuda. Kita tidak mahu mempunyai satu bakat sahaja. Kita perlukan lebih dari seorang pemimpin yang baik, malah ratusan.

“Saya mahu bina budaya berilmu. Di mana semua orang yang bercakap mesti berasaskan ilmu dan fakta, bukan berasaskan sentimen atau emosi,” katanya.

Tambah beliau, UMNO perlu menjadi parti pembangkang yang efektif untuk masyarakat dalam mempersoalkan imbangan keputusan kerajaan masa kini.

“Kalau tiada sesiapa yang boleh bercakap berasaskan ilmu dan fakta, maka habislah kita. Kita (UMNO) tidak akan jadi parti yang bertanggungjawab kepada masyarakat. Pada masa sama, kita tidak lagi relevan kepada rakyat,” katanya mengulas lanjut mengenai kepentingan sistem pengkaderan tersebut.

Menurut beliau, pembinaan jati diri secara spiritual perlu diperkuatkan oleh setiap anggota bagi memperkukuhkan lagi kekuatan dalaman parti UMNO yang berteraskan agama Islam.

“Anda perlu seimbang dengan mengukuhkan aspek spiritual anda. Kalau generasi masa kini tidak mempunyai jati diri yang kuat, maka kita akan mudah ditelan zaman,” katanya.

Asyraf menang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi penggal 2018 hingga 2021 selepas mengalahkan calon-calon yang lain, antaranya Naib Ketua Pemuda UMNO Senator Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda UMNO Pahang Datuk Mohd Shahar Abdullah, dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunus.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.