Guan Eng Menteri Angkuh, Tidak Menghormati Perlembagaan Persekutuan – Khaled

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian di dalam Bahasa Mandarin dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.

Menurutnya, tindakan tersebut sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan sahaja dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam setiap amalan dan urusan Kerajaan Malaysia.

“Ini kerana, kenyataan yang ditulis dan dikeluarkan dalam Bahasa Mandarin tersebut merupakan kenyataan rasmi yang melibatkan urusan pentadbiran negara dan kepentingan awam dan bukannya sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak rasmi.

“Sebagai negara yang mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tindakan sedemikian dengan jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini.

“Malah, secara tidak langsung, tindakan yang mengundang kemarahan dan rasa tidak senang oleh masyarakat umum tersebut, boleh dilihat sebagai sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono beliau dalam menjalankan tugas rasmi Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media mengulas tindakan Guan Eng yang berkeras mahu menggunakan bahasa Mandarin di dalam urusan rasmi kerajaan.

Khaled juga menggesa Guan Eng membuat permohonan maaf secara terbuka dan segera kepada seluruh warga negara Malaysia yang menjunjung dan menghormati kedudukan bahasa rasmi negara.

Sebagai peringatan, tegasnya lagi, kenyataan memohon maaf tersebut mestilah dalam bahasa Melayu.

“Lebih teruk, beliau sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan, dengan lantang mengatakan bahawa ‘I am not Chinese, I am Malaysian’.

“Jika tindakan tersebut bukan sekadar satu gimik politik yang penuh kepura-puraan, sebaliknya bertujuan menunjukkan semangat kebangsaan dan nilai beliau sebagai seorang warga negara Malaysia, mengapa ia tidak diterjemahkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Tetapi sebaliknya berlaku, selepas memegang jawatan dan menjalankan tugas-tugas rasmi Kerajaan, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan mudahnya melupakan pendirian dan dakwaan tersebut, tegas Khaled.

“Apabila Pegawai Tinggi Kerajaan, yang bertindak atas kapasiti Kerajaan dan menjalankan tugas-tugas Kerajaan, dengan sedar dan sengaja memilih untuk tidak mematuhi dan menghormati amalan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, ia sudah pastilah satu tindakan yang tidak boleh diterima.

“Malah, di negara-negara yang mempunyai pelbagai bangsa seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi Kerajaan akan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara tersebut.

“Dan sekalipun ingin beralih dari bahasa rasmi, sepatutnya Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut dalam semua bahasa-bahasa utama. Menggugurkan bahasa Melayu bukanlah satu pilihan sama sekali,” selarnya lagi.

Khaled turut menyarankan sekiranya Guan Eng tidak fasih, tidak mahir dan tidak pasti akan sesuatu istilah dan penggunaan bahasa Melayu, Setiausaha Agung Dap itu boleh sahaja mendapatkan khidmat pelbagai agensi Kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melainkan, padanya bahasa Melayu dan semua agensi ini sudah tidak penting dan tidak layak dirujuk.

“Tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan perkara ini sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan kepada bahasa Melayu. Kerana, belum sampai 100 hari pun kita bertukar kerajaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan boleh diabaikan oleh pegawai tinggi Kerajaan.

“Barangkali pada Guan Eng, atas nama Malaysia Baharu, perkara yang menjadi warisan, amalan, kebanggaan dan struktur asas negara ini, layak sahaja dibuang dan diketepikan agar selari dan memenuhi cita-cita kerajaan baharu.

“Memandangkan sekarang ini kita berada dalam Malaysia Baharu, mungkin bukan sahaja amalan kerajaan yang mesti baharu, tetapi kita juga memerlukan satu bahasa baharu bagi menggantikan bahasa Melayu,” katanya.

Justeru Khaled dengan tegas mendesak kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini.

“Jangan sampai Kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai ‘kaduk naik junjung’. Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas,” katanya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.