Guan Eng Mahu Meniup Api Kemarahan Majoriti Rakyat? – Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas tindakan Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan yang berkeras mahu menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan.

Menurutnya, tindakan Guan Eng yang tetap mempertahankan caranya itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Walaupun kita hidup dalam era globalisasi, Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu dalam Perlembagaan) telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa.

“Tindakan Kementerian Kewangan yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin bukan hanya dilihat seperti memberi fokus hanya kepada pengguna bahasa tersebut tetapi juga cuba untuk mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan.

“Ini bukan hanya seolah-olah mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan tetapi juga merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa bersama,” tegasnya.

Tambah Khairy sebagaimana dalam catatan di Facebooknya, bukan niat beliau untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana itu adalah hak peribadi.

“Namun Kerajaan Persekutuan perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

“Jika kenyataan tersebut adalah untuk kegunaan pembaca antarabangsa sekalipun, kenapa tidak kenyataan itu dibuat dalam Bahasa Inggeris sepertimana yang dilakukan Kementerian Kewangan di awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan?” soalnya.

Tanpa sebab munasabah dalam menggunakan bahasa Mandarin, Khairy menyatakan kerisauan kerana tindakan Guan Eng itu akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sudah sedia ada rasa tercabar sejak beberapa minggu ini. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.