Bahasa Kebangsaan : Semangat ‘Malaysia Baru’ Guan Eng Gelisahkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pergerakan Wanita UMNO menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya besikap lebih berhati-hati dalam tindakannya mengeluarkan kenyataan rasmi mahupun peribadi kerana sebagai Menteri dalam Kerajaan Persekutuan, setiap tindakan beliau akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata demikian merujuk kepada reaksi Guan Eng yang mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin.

“Tindakan Guan Eng mempertahankan kenyataan rasmi kerajaan diterbitkan dalam bahasa Mandarin bukan sahaja tidak selari dan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan malah ia menerbitkan rasa kurang senang dan kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, respon di media sosial ternyata mengecam dan meminta Guan Eng supaya bertindak sebagai Menteri Kerajaaan Persekutuan yang lebih objektif dalam melaksanakan tugasnya.

“Sebagai Menteri Kewangan Malaysia, Guan Eng seharusnya menumpukan perhatian dan tindakannya terhadap tugas-tugas mengurus kewangan negara, bukan menimbulkan kegelisahan rakyat melalui semangat ‘Malaysia Baru’ yang dilaungkannya.

“Apatah lagi reaksi Lim Guan Eng terhadap kecaman dan peringatan rakyat ini diperjelaskan oleh Lim Guan Eng melalui akaun Facebooknya dengan menggunakan bahasa Mandarin semata-mata. “

Apakah Guan Eng hanya mahu membuat penjelasan kepada masyarakat berbangsa Cina sahaja? Bagaimana pula dengan masayarakat Melayu, India dan lain-lain yang turut mengundi PH untuk menjadi Kerajaan Malaysia, soalnya.

Dalam masa yang sama, Wanita UMNO juga menggesa PH mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Guan Eng berkenaan perkara ini yang dikhuatiri boleh mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sehingga boleh mendatangkan perpecahan dan ketidak harmonian dalam negara ini. –MediaUMNO